Wings terbaik!
Oleh Zainuri Misfar
2011/05/05
BIARPUN mungkin tidak sehebat Metallica dan Scorpions, tetapi Wings boleh berasa bangga kerana persembahannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) meletakkan kumpulan ‘sayap-sayap’ ini menjadi kumpulan rock pertama di benua Asia mengadakan konsert dalam dewan dengan iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Konsert Opera Hidup juga menjadikan semua anggota utama Wings mengepak seumpama berada seiringan dengan Metallica dan Scorpions, dua kumpulan rock yang pernah menjayakan persembahan rockestra kerana persembahan yang diiringi dengan muzik orkestra.
WINGS memulakan Konsert Opera Hidup dengan lagu Opera Hidup dan diikut dengan Hukum Karma.
Opera Hidup adalah satu kiasan mengenai pentas kehidupan anggota kumpulan Wings yang mengharungi perjalanan suka duka kumpulan ini selama 25 tahun dalam dunia hiburan terutama dalam muzik rock.
Memang bukan mudah sesebuah kumpulan rock yang sinonim dengan imej rambut panjang ini bertahan di pentas hiburan kerana penampilan seperti itu sering saja menjadi cemuhan segelintir masyarakat.
Bukan sedikit kumpulan rock yang yang berundur dan kini hanya tinggal nama sahaja. Namun, Wings tetap bertahan. Awie sendiri mengakui sepanjang suku abad, Wings memang menghadapi pelbagai cabaran.
Namun semangat mereka untuk bertahan dalam industri muzik yang penuh pancaroba ini cukup kental, seteguh semangat yang diambil daripada Inspirasi Taming Sari, iaitu antara lagu yang disampaikan dalam konsert ini.
Anggota muziknya silih berganti. Pemain dramnya, Black pernah meninggalkan kumpulan ini dan digantikan dengan Jojet yang sempat membantu menghasilkan enam album Wings. Malahan Awie sendiri meninggalkan Wings untuk tempoh yang lama dan ketiadaannya dalam kumpulan ini digantikan dengan vokalis MAY, Mus dan Mel.
Tetapi seumpama lagu Semalam Yang Hangat, saat indah suka dan duka bersama Wings bukan mudah dilupakan, lalu Awie kembali ke pangkuan rakan-rakannya. Saat yang indah ini diabadikan selama empat malam berturut-turut dalam Panggung Sari Istana Budaya.
Bagi Awie dan kawan-kawannya juga, Konsert Wings Opera Hidup bukanlah sekadar konsert tetapi juga mempunyai ertinya yang cukup mendalam, terutama dalam mengekalkan persahabatan.
Ini terserlah apabila semua yang pernah bernaung di bawah nama Wings, berkongsi kudrat untuk menjayakan konsert yang berlangsung selama lebih dua jam itu. Joe, Eddie, Black dan Awie bersatu dengan ‘penyambung hayat’ Wings iaitu Sham, Jojet, Mel dan Mus lalu mereka bersatu menyanyikan lagu Biarlah Berlalu seolah-olah mengajak mereka melupakan apa yang sudah berlaku sebelum ini.
Sememangnya tidak mudah untuk mengekalkan persefahaman kerana tempoh 25 tahun bukan satu jangka masa panjang. Kepayahan untuk mewujudkan satu hubungan yang akrab itu seumpama lagu Bernafas Dalam Lumpur yang turut disampaikan oleh Awie dalam konsert ini. Mungkin ada-ada sahaja yang hendak memecah belahkan kumpulan ini dan mereka itu barangkali dianggap sebagai hantu Jerangkung Dalam Almari yang seharusnya ditembak dengan meriam Bazooka Penaka.
Opera Hidup Wings ini sebenarnya sekadar merakamkan sejarah dan perjalanan suka dan duka mereka. Sebaliknya, Wings turut merakamkan suasana politik dunia pada awal tahun 90-an menerusi lagu Romania. Lagu ini menceritakan keazaman rakyat Romania dalam satu revolusi menjatuhkan Presiden mereka, Nicolae Ceausescu.
Lagu ini dimuatkan dalam album Teori Domino pada tahun 1990 yang turut memuatkan lagu Sejati. Lagu ini yang seolah-olah menjadi kemuncak Konsert Wings Opera Hidup tetapi persembahan Awie belum sampai ke penghujungnya.
Ini kerana konsert itu diteruskan lagi dengan gabungan Awie bersama-sama Mel dan Mus untuk menyanyikan lagu Taman Rashidah Utama, Biru Hitam Mataku.
Persembahan Wings dalam dewan teater ini tidaklah mengetengahkan rentak rock secara total, tetapi sesuai dengan konsep rockestra, maka setiap lagunya memang digubah semula dan diiringi dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan pimpinan Mustafa Fuzer Nawi. Tidak seperti kebiasaannya yang mana muzik iringan orkestra ini sekadar tempelan atau dimainkan pada bahagian tertentu, tetapi untuk konsert Wings Opera Hidup, peranan Orkestra Simfoni Kebangsaan memang cukup menonjol.
Susunan muzik Wings Opera Hidup Rockestra dan akustika memang cukup mantap kerana ia adalah hasil sentuhan genius daripada Joe, gitaris Search, Hillary dan Lee Sze Wan yang pernah terbabit dalam produksi teater muzikal seperti P Ramlee The Musical dan Puteri Gunung Ledang The Musical.
Kepuasan tidak terkata
RAUT wajah Joe agak serius. Dia memang lincah di atas pentas ‘menggoreng’ gitar utama dengan tangan kidalnya. Tapi apabila si penyanyinya, Awie berhenti menyanyi untuk berbual seketika dengan penonton, cepat-cepat dia menyembunyikan diri di sebalik langsir pentas.
Di sebalik wajah seriusnya, Joe mudah diajak berbual. Dia bagaikan tidak mampu untuk berkata-kata apabila ditanya mengenai konsert Wings Opera Hidup. Kepuasan memang jelas terpancar pada wajahnya. Kegembiraan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata
Joe, adalah orang penting yang bertanggungjawab memastikan konsert Wings Opera Hidup ini menjadi kenyataan. Menjayakan konsert yang besar dan eksklusif ini ternyata memerlukan kesabaran, kesungguhan, disiplin dan persefahaman serta kerjasama yang cukup tinggi.
“Persiapan konsert ini mengambil masa lapan bulan. Ya! memang saya puas dan bangga dengan hasil konsert ini. Malahan saya bangga kerana difahamkan Wings adalah kumpulan rock ketiga di dunia yang membuat konsert dengan iringan muzik orkestra dan di adakan dalam dewan teater,” katanya yang ditemui selepas konsert ini selesai.
Ketua Pengarah IB, Muhamad Juhari Shaarani juga mengesahkan Wings adalah kumpulan rock ketiga di dunia selepas Metallica dan Scorpions yang mengadakan konsert dalam dewan teater, manakala susunan muzik mereka digubah dan disesuaikan dengan iringan orkestra sepenuhnya.
“Mereka (Wings) kumpulan ketiga dan menjadi yang pertama di Asia dan sudah tentu di Malaysia sebagai kumpulan rock yang membuat persembahan dengan iringan orkestra,” katanya.
Salam Tuan Shahrul Nizam,
ReplyDeleteSaya minta maaf sangat-sangat kerana tidak berhenti apabila ditegur tadi. Saya hanya sempat tersenyum kerana mengejar waktu. Suami sudah masuk dalam kereta dan kami ada mesyuarat seterusnya di KL Sentral.
Saya mohon maaf sekali lagi. InsyaAllah ada rezeki bertemu lagi kerana saya selalu makan tengah hari di situ =)
Salam Hormat,
AinMaisarah
hehe xpe.saje je nk usik pn ain maisarah.next time kalo jumpa sy tgur lagi ye..
ReplyDelete